Khamis, 13 Januari 2011

Gejolak

Kadang-kadang, gua rasa hidup ni amat mengelirukan. Seolah-olah payah untuk mengejar peredaran masa dan dunia bergerak dengan terlalu laju sampai gua tercungap-cungap cuba menyaingi langkah. Ada masanya, gua menurut tanpa sedar dan bila tersedar, gua sendiri tak tahu macam mana gua boleh sampai di tempat yang gua berada. Gua jadi bingung. Seingat gua, gua berada di tempat yang lain tadi. Macam mana, dengan tiba-tiba, gua dah berada di sini? Gua tak faham. Langsung tak faham. Tak masuk akal.

Entahlah. Gua tak mengerti. Terasa macam gua dan dunia berada di tahun yang berbeza, di zon masa yang berlainan. Di mana gua berpijak, bukan di situ gua berada. Gua tak faham apa yang telah berlaku. Gua tak faham bagaimana ia berlaku. Gua keliru dengan apa yang ada dan gua rasa asing dengan apa yang gua pandang. Ia tak sepatutnya macam ni. Gua tak kenal ini. Gua tak kenal semua ni. Gua tak faham. Kenapa segala-galanya tak macam apa yang gua ingat? Macam mana ia boleh jadi terlalu jauh berbeza? Gua tertidur ke, atau apa?

Bila gua pandang sekeliling, gua rasa seperti orang asing dalam kehidupan sendiri. Banyak yang gua tak kenal dan gua tak tahu. Banyak yang bercanggah daripada apa yang ada dalam memori gua. Terasa janggal dan pelik. Sejak bila semuanya berubah? Gua seperti tak sedar. Berbezanya apa yang ada ketika ini dengan apa yang pernah gua kenali. Segala yang bertukar wajah, bertukar rupa. Segala yang gua genggam dan tiba-tiba dah tak ada lagi untuk selama-lamanya. Segala yang hilang, yang berlalu dan tak dapat lagi gua lihat dalam pandangan gua. Segala-galanya yang menjadi amat berbeza. Macam mana?

Gua cuma rasa amat payah. Hakikat yang ada di dalam jiwa gua tak selari dengan hakikat yang ada pada dunia saat ini. Ia bertingkah dengan jarak waktu dan begitu bercanggah. Walaupun sedar, nyata, waras, tapi hati gua lemas. Gua rasa sulit untuk selarikan ingatan dengan kenyataan. Gua keliru. Gua rasa gua seperti tak pernah bergerak langsung jadi kenapa gua boleh berada di satu era yang terlalu jauh jaraknya daripada sekelip mata yang lalu? Malah gua rasa macam gua belum sempat mengerlipkan mata pun, tiba-tiba apa yang ada di depan gua bukan lagi apa yang sedang gua pandang. Macam mana untuk gua faham semua itu? 

Rasanya amat menekan dan memilukan. Saat gua tebarkan pandangan, gua menyedari hidup ini dah tak sama lagi dan tak mungkin akan berulang kembali. Tahun-tahun yang berlalu, peristiwa-peristiwa yang berkubur. Ianya menjadi terlalu jauh walaupun di dalam hati gua masih rancak berlaku. Gua merintih, memberontak. Gua tak mahu ia berlalu. Gua tak mahu ia berubah. Gua hanya mahu segala-galanya sama seperti apa yang gua kenali. Gua hanya mahu ia kekal sama, serupa. Gua hanya mahu kembali ke waktu di mana ianya masih seperti asal. Gua hanya mahu kembali ke sedia-kala. Sangat-sangat! Gua hanya mahu balik ke sebelum ini. Gua mahu ianya seperti dulu, seperti apa yang gua kenali waktu mula-mula.

Namun, betapa pun hati gua meronta menolak kebenaran, apa yang tertulis itu tetap telah tertulis. Dan menyedarinya, gua hanyalah sebutir garam di lautan yang bukanlah apa-apa. Gua tak berkuasa. Gua tak berdaya. Walaupun menyakitkan, masa silam tetap telah menjadi masa silam. Dan gua tak mampu untuk memutarnya kembali. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

peti harta karun