Khamis, 6 Januari 2011

Geli-Geli

Gua cuba atur kehidupan bertepatan dengan rutin kehidupan yang normal. Sekarang, pada kebanyakan masanya gua berjaya. Tapi pada masa yang tak termasuk dalam kebanyakan tu, gua gagal. Apa penjelasan yang boleh mewajarkan seseorang untuk tak mampu hidup secara teratur? Cuma isu yang kecil, tapi permasalahan dalam dunia ini rata-ratanya berkisar tentang himpunan isu-isu kecil. Jadi kenapa ya, kenapa gua tak boleh hidup dalam kehidupan yang tersusun? Seolah-olah gua lebih senang hidup berselerak, bersepah-sepah. 

Hakikatnya, sebelum gua mampu ingat, hidup memang dah berserabut. Mungkin kerana latar-belakang, pembawaan sewaktu membesar. Tapi semua tu dah lama gua lepasi. Gua dah 'tua'. Bukan dari segi kiraan umur, tapi pengalaman. Isu keluarga, isu hubungan dengan ayah, hubungan dengan emak, konflik mencari diri sendiri, tekanan sekeliling, bla bla bla, semua tu hanya sejarah. Saat-saat berada dalam ketakutan yang amat-sangat sehingga terkencing kerana seorang ayah. Saat-saat marah menyesali lemahnya kaum ibu  yang hanya tunduk pada kuku besi suami. Saat-saat hati sarat dengan dendam terguling lemah kesakitan atas lantai kerana diterajang bertubi-tubi macam binatang oleh seorang abang. Saat-saat sesak nafas dengan suasana yang sentiasa bermasalah. Saat-saat jiwa memberontak bencikan kehidupan sendiri dan mengharapkan untuk bebas.

Hmm. Tiba-tiba rasa jijik tulis macam ni. Berhenti setakat itu. Geli! Malam ini cuba tidur awal. Itu saja ceritanya. Penyelesaian untuk masalah hidup tak teratur dan tak mengikut jadual, aturlah dan ikut jadual. Noktah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

peti harta karun