Ponteng lagi. Gua tak berniat untuk tak pergi kerja tapi gua rasa terlalu letih dan mengantuk yang akhirnya membuat gua memilih untuk menyambung tidur daripada bangun bersiap. Untuk ke sekian kalinya, gua MC lagi. Benda yang buat gua rasa tak sabar-sabar nak masuk ke tahun baru. Dah terlalu banyak MC gua untuk tahun ni.
Bosan. Masih lagi rasa bosan. Sekarang gua rasa lepak kat rumah bermalas-malasan dah tak lagi menyeronokkan. Gua dah kekeringan ilham tentang apa yang patut gua buat bagi mengisi masa. Berbanding kalau di pejabat, sekejap saja masa berjalan. Salah gua sendiri, kan? Siapa suruh ponteng kerja. Entahlah. Macam banyak benda yang tak terkawal sekarang ni. Semua kusut dan berserabut. Tengok bilik gua sajalah sebagai contoh terdekat. Berserabai. Gua rasa sarang tikus pun lebih kemas daripada ni. Bila semua benda kusut, diri gua pun kusut. Ataupun, sebab gua kusut, semua benda jadi kusut. Yang nyata, kusut dan menyusutkan.
Gua tahu gua perlu kembali berada di dalam kawalan. Tak boleh terus biar diri terus tak terurus. Tapi, mengetahui sesuatu tak bermakna melakukan sesuatu. Memang hampeh. I should start with my room first. Tapi, tak bergerak-gerak. Makin dibiar, makin serabai. Haih. Entah apa nak jadi. Sama saja dengan jiwa gua. Mengarut dan merapu, tunggang-langgang. Rimas, tapi masih tak ambil apa-apa tindakan. Hampeh kuasa dua.
Kebelakangan ni, minda gua dipenuhi oleh sesuatu. Hmm. Sesuatu, atau seseorang, lebih-kurang. Mungkin gua cuba mengalihkan perhatian daripada kekecewaan, yang membuatkan gua tumpu segala minat kepada perkara baru, dan bila minat sudah ada, membuatkan diri gua boleh terdedah kembali kepada kekecewaan. Benda sama saja sebenarnya. Pusing-pusing, kitaran yang sama yang gua lalui dan ulang. Gua selalu ambil jalan buntu. Jalan yang dari awal gua tahu akan bawa gua bertemu dinding lagi. Perasaan macam tersekat, lekat, tak boleh maju juga disebabkan ini. Bukan gua nak sangat lepasi dinding tu, tapi gua jadi bengang bila tak habis-habis asyik tersekat dengan dinding. Gua geram nak robohkan dinding yang menyekat. Tapi diam-diam gua terfikir juga. Dari mana datangnya dinding tu? Betul ke dinding tu yang menghalang 'kemaraan' gua, atau gua sendiri tanpa sedar yang membina dinding kerana jauh dalam hati, gua tak mahu mara ke depan? Haih. Psikologi, psikologi. Kadang-kadang benda yang berlaku pada kita adalah benda yang kita di luar sedar mencari. Mindset. Segalanya hanya menurut apa yang telah kita semat dalam kepala. Walaupun gua fikir gua nak kegembiraan, tapi dalam minda gua menjangkakan kekecewaan. Konflik ya, orang yang begitu positif tapi juga begitu negatif.
Gua rasa, dia adalah sangat menarik. Mungkin sebab gua tahu gua takkan dapat dia, jadi dia menjadi ekstra menarik. Sebenarnya gua tak tahu. Rasa minat yang gua ada adalah minat yang sebenar atau cuma mainan jiwa dan emosi. Perasaan minat dan, hmm, rangsangan macam ni bukan benda yang baru bagi gua. Getaran, gelora, keterujaan, selalu gua alami. Cuma, ia selalu mati setakat itu. Katakan kalau ada laluan untuk pergi lebih jauh, gua tertanya-tanya, mampu ke minat dan rangsangan itu terus bertahan dalam jangkamasa yang panjang? Tapi, siapa tahu, kan? Jadi, gua harapkan perubahan. Tolonglah roboh dinding dan buka jalan untuk gua terus ke depan. Dia sangat menggoda, setakat ini.
Jadi, apa perubahannya pada gua dengan menulis ini? HA HA HA. Back to square one. Nothing. Same damn old thing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan