Isnin, 11 Oktober 2010

Pandora Hearts

Tempoh hari, gua tonton anime berjudul Pandora Hearts. Gua rasa watak utama dalam anime tu, Jack Bazarius ada persamaan dengan gua. Bila-bila masa, gua sanggup tukarkan nyawa gua untuk kesejahteraan orang-orang yang gua sayang. Seolah-olah mulia, tapi sebenarnya, bila gua fikirkan, gua cuma tak tahu menilai harga kewujudan diri sendiri. Sentiasa rasa tak mengapa kalau yang terkorban itu adalah gua. Katakan kalau gua tak ada dalam dunia ini pun, gua tak fikir ada sesiapa yang akan terjejas. Orang lain lebih penting. Orang lain lebih diperlukan. Jadi, tak mengapa kalau ia adalah gua. Sebab gua cuma bayang-bayang. Gua hadir dan pergi tanpa disedari. I' m only that.

Mungkin, di sebalik segala keyakinan dan keegoan pada zahirnya, gua hanya seorang insan yang menyedihkan. Siapa gua di atas muka bumi ini? Gua tak memiliki sesiapa, dan tak dimiliki sesiapa. Gua bukan siapa-siapa pun. Mungkin, semuanya dipengaruhi oleh emosi yang diterapkan dari azali. Membesar dengan perasaan tak berharga. Kerana, dalam keramaian itu, gua adalah 'orang luar' yang hanya memandang dari jauh. Gua tak pernah rasa seperti sebahagian daripada mereka. Hanya mampu dekat, tapi tak mampu bersama. Sampai gua terbiasa, dan sehingga ke hari ini gua masih cenderung untuk mengasingkan diri, membawa diri  dari khalayak yang ramai. Gua adalah awan hitam yang menggelap di satu sudut ketika ruang yang lainnya dipenuhi gelak tawa dan warna-warni.

Terlalu lambat untuk merubah jiwa di ketika ini. Bukan kerana mustahil, tapi kerana gua sudah tak mahu berubah. Dari segi itu, paling tidak. Gua mampu ketawa. Gua mampu ceria. Malah gua mampu berlagak ramah dan mesra. Tapi di sebalik semua itu, ini masih lagi diri gua. Gua tak pernah berubah. Hanya menyamarkan watak di pandangan mata orang kerana sekali-sekala menjelma sebagai bukan diri yang sebenar sepenuhnya mampu juga menghiburkan. Malah, hakikatnya, gua sangat jarang menampakkan diri gua serius. Bukan kerana gua seorang yang mudah, bukan kerana gua seorang yang gembira, tapi kerana, mereka tak perlu tahu. Laut dalam di dalam diri gua adalah tempat yang terasing yang sepenuhnya adalah milik peribadi gua. Gua harap mereka juga boleh buat macam tu. Tak perlu menggembar-gembur tentang perasaan dan emosi yang ada dalam diri kerana, ia adalah lumrah. Hanya kerana ia tak disebut, bukan bermakna ianya tak ada. Tak perlu terlalu, hmm, skema? Ada apa dengan kesedihan yang terperap di dalam hati? Hanya kerana kesedihan tu wujud kat situ, tak bermakna kita perlu lurus mempamerkan saja apa yang sebenar. Berapa usia anda? What you see ain't always what you got. Pandang dengan pengertian, bukan hanya dengan mata kasar.

Terlalu banyak yang tersembunyi di sebalik apa yang terbatas pada pandangan. Mata hati yang menembusi prasangka, prejudis, curiga. Sebenarnya gua bukan terlalu mudah percayakan orang. Cuma gua rasa ramai manusia yang lebih suka memilih untuk menafikan kebaikan yang ada dalam diri mereka. Gua tak tertipu pun. Lakonan mereka tak sehebat itu sehingga boleh memperdaya gua untuk 'memakan' aksi baik dan manis yang dipamerkan. Gua bukan bayi untuk tak sedar dunia dan manusia itu penuh dengan muslihat. Tapi di sebalik kelicikan dan muslihat yang terselindung di belakang aksi mulia itu, mereka mahu bohongi siapa? Selama seorang manusia itu ada hati, selama itu mereka ada rasa dan selama mereka ada rasa, selama itu mereka masih baik. Kerana, semua manusia berasal dari bayi, dan semua bayi dilahirkan suci. Orang yang rugi adalah orang yang mensia-siakan kepercayaan yang diberi. Jadi kalau mereka lihat dari sudut ini, mereka tahu kenapa gua tak pernah kesalkan apa-apa.

Gua rasa seseorang itu sangat bertuah, kalau dalam seisi dunia ini mereka mampu jumpa hatta hanya seorang pun teman yang benar-benar mempercayai mereka. Satu hari, kalau kita jatuh ke lembah yang amat hina, teman inilah yang sanggup melihat menembusi kekotoran dan kehinaan yang terpalit pada wajah kita, lalu masih mahu menyelamatkan kita. Dari segi ini, selama-lamanya gua akan kekal naif kerana hanya itu satu-satunya cara menyayangi yang gua tahu. Love is faith. Seperti cerita dongeng, sanggup berkorban dan tak berganjak walaupun membahayakan diri, tapi, gua sedikitpun tak mulia. Gua cuma tahu menyayangi dengan cara itu. Dan mungkin memang gua berasal dari cerita dongeng. Gua adalah jelmaan kisah khayalan. I'm not real, but somehow I am. 

Tapi, hakikatnya, gua tak perlu pikul segala beban yang ada dalam dunia. Gua bukan wira. Ini bukan zaman bila pendekar akan datang menerpa dengan kuda untuk menyelamatkan setiapkali ada orang dalam bahaya. Heh. Katakan kalau gua yang jatuh, yang tersepit, macam mana agaknya? Tapi gua lihat mereka mudah-mudah saja berjalan sambil memijak-mijak perasaan gua. Dan yang gua rasa untuk hakikat ini, bukan kecewa atau sedih, cuma sedar diri. Mereka bagi cermin, jadi gua dapat lihat siapa diri gua sendiri. Semudah itu. Kalau kita adalah siapa diri kita, sesungguhnya, macam mana untuk bersedih? I guess, I am just a sad person. But I'm not sad. Noktah.


2 ulasan:

  1. "Gua adalah awan hitam yang menggelap di satu sudut ketika ruang yang lainnya dipenuhi gelak tawa dan warna-warni"

    kau dan aku masing2 sedang melalui perkara yang sama. We are just lunatic who write as escapism, because no one understand us. haha.sebijik dengan post "thanks,mate" aku. semoga kita dapat lalui semua ni dengan selamat

    BalasPadam
  2. :)..hanya seseorang yang sedih,tapi bukan bersedih.somehow,gua rasa it's comforting.macam bila berada dalam gelap,kita sebenarnya lebih 'nampak'.so,it's ok actually.

    BalasPadam

peti harta karun