Selasa, 17 Mei 2011

Pilihan

Kemahiran gua untuk berduka-lara semakin hari semakin terhakis. Bukan gua tak bersedih, bukan gua tak terluka, cuma, gua semakin hilang upaya untuk melayan sedih dan luka itu lama-lama. Macam mana? Gua jadi lupa. Akal gua semakin terdidik untuk menerima hakikat sebagai hakikat dengan seadanya. Maka dengan penerimaan itu gua dah tak punya apa-apa pertikaian melainkan menelan saja takdir yang datang. Atas kesedaran, segalanya bukan terletak di tangan gua.

Hidup ini, kalau gua mahu bilang setiap kehilangan yang terpaksa gua hadapi, tak terbilang. Malah apa yang paling gua takuti dalam hidup gua sebenarnya adalah kehilangan. Tapi waktu dan pengalaman telah banyak mendewasakan dan menukar ketakutan menjadi sebuah keberanian. Pun begitu, gua rasa gua sebenarnya adalah seorang yang terlalu lemah dan pengecut sampai gua terpaksa untuk sengaja memilih menjadi kuat dan berani demi tak sanggup terus menanggung kesakitan dan ketakutan yang tak putus datang. Semua itu, takkan berhenti dan berubah. Kita tak boleh mengelak dari kepedihan tapi kita boleh ubah kesan kepedihan ke atas hidup kita, samaada memusnahkan atau memperbaiki jadi dengan akal yang cerdik, gua ambil memperbaiki. Sebalik bermuram-durja, gua pilih untuk meneruskan langkah dengan lebih tabah. Dan, itu sahaja.

Jadi lagi sekali gua ulang, bukan gua tak bersedih atau terluka bila gua tenang-tenang sahaja. Cuma, setelah gua terima sesuatu sepertimana sesuatu itu seadanya, ia jadi lebih mudah. Keputusan sudah jelas. Bila sudah jelas, maka jelaslah. Mereka telah membuat pilihan dan pilihan itu adalah kehidupan di mana di dalamnya tidak wujud diri gua. Justeru, apa lagi yang perlu gua persoal? Segalanya telah terang dan termaktub. Maka melakukan apa yang seperti selalunya gua diminta untuk lakukan-melepaskan. Ya, melepaskan. Atas kesedaran, kita tak boleh memiliki sesuatu yang bukan milik kita. Semudah itu. Dan, itu sahaja.

      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

peti harta karun