Khamis, 9 Disember 2010

Menyarung Kasut Si Dia

Beberapa tahun ini, gua melihat keadaan hanya daripada sudut gua. Betapa terlukanya gua, betapa sakitnya gua. Apa yang gua nampak adalah kepayahan berada di tempat gua, kerana apa yang berlaku secara terus menimpa ke atas gua. Bila sesuatu yang paling dihajati direntap dengan kejam dari genggaman. Bila terhumban dalam kedudukan yang merampas segala hak dan merendahkan darjat diri menjadi bukan sesiapa kepada seseorang yang paling istimewa. Hanya mampu melihat segala impian dan harapan yang telah wujud sekian lama dihancurkan begitu saja. Berkecai, lebur! Tercampak ke dasar paling dasar, terkebil-kebil memandang nyawa yang murahnya bertukar milik ke tangan orang lain. Segala pedih, segala seksa, bila ingatan dan rindu tak pernah berhenti mengelar jiwa. Dan deritanya berganda, mengetahui betapa insan yang melukakan itu amat sedar tentang kesakitan dan kesengsaraan yang ditanggung, namun sekadar membiarkan. saja Tanpa harga, tanpa nilai. Kepahitan di luar gambaran kata-kata. Untuk hidup, tanpa kehidupan itu sendiri. Lalu masa beredar, dan kesakitan semakin mendalam, hingga mematikan jiwa. Bernafas tanpa satu-satunya cinta di hati.

Itu apa yang gua rasa berada di tempat gua. Tapi pernahkah gua membayangkan bagaimana segalanya dari sudut pandangan dia? Hmm.. Gua terlupa, terlupa tentang hati yang pernah gua kenal, gua belai. Gua  terlupa melihat hati itu dengan pandangan halus yang selama ini mampu buat gua merasai dan mengerti perasaan dia. Bagaimanakah berada di sebelah sana, dalam kedudukan dia?

Bila harus merentap sesuatu yang paling dihajati dari genggaman sendiri dengan kejam. Bila terhumban dalam kedudukan yang harus memadam segala hak dan menukarkan seseorang yang paling istimewa menjadi bukan sesiapa kepada diri. Tak mampu mengelak dari menghancurkan  begitu saja segala impian dan harapan yang telah wujud sekian lama. Berkecai, lebur, di tangan sendiri! Terhimpit tanpa ruang dalam kesempitan yang paling sempit untuk menyerahkan nyawa kepada nyawa sendiri ke tangan orang lain, semurah-murahnya. Segala pedih, segala seksa, bila ingatan dan rindu tak pernah berhenti mengelar jiwa, namun tak mampu menghampiri apa yang amat diingati dan dirindui sedangkan diri pula terikat dalam ikatan yang tak direlakan oleh hati. Dan derita itu berganda, menyedari betapa insan yang dikasihi sedang menanggung sakit dan sengsara yang tak terperi namun tak mampu ke sana untuk merawat dan harus membisu walaupun setiap saat dapat merasa dan mendengar rintihan yang menusuk-nusuk kalbu. Tak terhitung harga dan tak terkira nilai. Kepahitan di luar gambaran kata-kata. Terpaksa hidup tanpa kehidupan itu sendiri, dan bernafas dalam kepalsuan sehari-hari di dunia yang tak pernah diimpi. Lalu masa beredar, tanpa mampu meluahkan kebenaran tentang segala kekesalan, keterpaksaan, rindu, dendam, cinta yang menghimpit di dada, hingga mematikan jiwa. Hidup yang tak lagi hidup setelah dibunuh kepura-puraan untuk bersama dengan insan yang tak pernah dan tak mampu dicintai sedangkan satu-satunya cinta di hati tak mampu dimiliki. Lemas. Sesak. Terjerut.

It must have been hard too, menjadi dia. Hmm....Hakikatnya bukan  gua satu-satunya yang terseksa atas apa yang telah berlaku. Dia juga sama. Dan ini satu keajaiban, apa yang gua kecapi saat ini. Kembali berada di tempat di mana segala-galanya rasa tepat-di sisi dia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

peti harta karun