Jumaat, 26 November 2010

Di Atas

Malam masih panjang. Waktu masih lama. Pandang langit dan pandang kejauhan. Ke mana langkah dari sini? Dalam kegelapan yang paling gelap. Gua dengar rintihan dia. Jeritan sayu yang berpadu dengan kebisuan. Apa yang harus gua buat? Gua harap gua ada sayap. Gua harap gua boleh pergi ke tempat  di mana dia berada, yang sesungguhnya gua benar-benar tak tahu di mana.

Diam. Sepi. Sesuatu yang tak mampu gua gambarkan untuk dimengerti. Tenggelam sedalam-dalamnya di dalam kepiluan dan gua hanya terdaya untuk terus tenggelam lebih dalam. Dasar derita. Gua terkandas. Mahu gapai dia. Mahu larikan dia. Mahu dakap dia. Hujan api yang mencurah. Dia terbakar. Percikan ganas yang melecurkan kulit di segenap tubuh dia. Itu adalah kesedihan. Ertinya sedih.

Gua tak mampu ungkap, walau gua mahu didengari. Titik di mana gua berada sekarang adalah terlalu sulit. Gua semakin merasa, sepertinya kunci yang menyekat perasaan gua selama ini perlahan-lahan mula terbuka semula. Gua jadi mengerti. Gua jadi jelas. Ketika gua alami kebingungan ini, gua sedar gua semakin kembali. Gua mula bertemu 'gua'. Dan itu bermakna dia juga perlu kembali. Dia perlu bertemu 'dia'. Dia hilang 'dia'. Seolah-olah gua bertemu satu jawapan. Gua harus mendapatkan 'gua' di dalam dia dan dia harus mendapatkan 'dia' di dalam gua. Dia perlu pulang.

Adakah lu mengerti? Ini bukan kisah cinta, bukan kisah luka, bukan kisah rindu. Di dalam keluhuran yang paling luhur, pedih pada erti kata pedih yang sebenarnya. Adakah lu akan mengerti? Gua menulis saat ini di saat gua sedang menjadi diri gua yang benar-benar sejati. Sesuatu yang gua hilang selama bertahun-tahun. Gua adalah diri gua. Gua adalah gua kembali ketika ini. Dan gua merasa segala rasa yang ada. Pecah! Pecah bersama dia. 

Segalanya makin terhurai saat gua mengerti. Ketika gua mati, dia mati dua kali. Tak sepatutnya gua biarkan. Sekarang, ke dunia mana harus gua tuju? Kenapa gua jelas tentang erti kepulangan dan menyedari gua mungkin akan kehilangan? Tak boleh! Gua tak mahu. Gua tentang. Kalau itu takdir, gua mahu ubah takdir. Macam mana? Tuhan, bolehkah gua cagarkan nyawa gua untuk bawa dia 'pulang'? Bolehkah gua cagarkan setiap kegembiraan, kesempurnaan, kesihatan, kenikmatan, dan segala apa saja yang baik yang tertulis untuk gua, supaya semua itu Kau berikan kepada dia? Kalau suratan bakal menghapuskan dia, gua mahu menjadi ganti. Apa saja, walaupun kehancuran abadi untuk gua, asalkan Kau lindungi dia. Dan gua tahu mungkin gua berdosa kerana meminta begini.

Keluh. Rintih. Dalam ketiadaan arah yang melemaskan. Gua sedang meronta-ronta. Gua perlu cari dia. Gua perlu berada di sisi dia. I need to be there. I have to be there! Tapi kat mana, macam mana, dengan cara apa? Arghhhh!! Pergi mampus dengan mereka yang cakap gua tak perlu pedulikan dia! Pergi jahanam dengan mereka yang cakap gua tak perlu terjunam bersama dia! Sampai mati pun, mereka takkan mampu merasai walau sekelumit daripada apa yang gua rasai. Dan itupun mereka masih berani mahu membandingkan hati gua dengan hati mereka. 

Adakah lu akan mengerti? Sebab itu, gua memilih untuk enggan mengungkapkannya. Sesuatu yang terlalu berharga, akan terbunuh dengan kata-kata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

peti harta karun